Pembulian siber adalah perkara-perkara bertulis atau dalam bentuk gambar yang dipaparkan di alam siber bagi tujuan menghina atau memperlekehkan orang lain. Ia dihantar melalui e-mel, laman sembang (chat), laman sesawang dan apa jua aplikasi (apps) komunikasi online yang lain.
Perhatian kepada pembuli siber…

Pernah tidak anda dengar “Mata pena lagi tajam dari mata pedang”?

Maksudnya, kata-kata yang ditulis atau dilakarkan lebih menyentuh perasaan atau menusuk ke dalam dada! Oleh itu, jauhilah diri anda dari melakukan perkara yang boleh melukakan hati orang lain. Pembuli siber memang tidak cool langsung! Hanya orang yang tidak bertanggungjawab sahaja akan bertindak sebagai pembuli. Jika anda tidak mahu dilihat sebagai seorang yang tidak bertanggungjawab, jangan sesekali buat begitu ya!

Perhatian kepada yang kena buli…

Anda sebenarnya sedang dibuli jika mendapat:

  • Mesej-mesej sinis yang menyakitkan hati.
  • Komen yang menghina, memandang rendah, termasuk menyampaikan cerita palsu mengenai diri anda.
  • Mesej-mesej berunsur ugutan.
  • Penyebaran gambar yang tidak senonoh.
  • Gangguan seksual.
Tips
Ringkas

Jika anda dibuli, ikut langkah di bawah:

  • Abaikan mereka.
  • Padam atau hentikan langganan.
  • Beritahu pembuli dengan cara baik bahawa pembulian siber ini menunjukkan kelemahan diri mereka sendiri.
  • Laporkan perkara ini kepada guru, penjaga atau orang dewasa yang anda percayai.

Jika anda adalah pembuli:

  • Fikir sejenak – jika anda membuli seseorang, ia hanya akan menunjukkan bahawa anda adalah seorang yang tidak bertanggungjawab.

Mereka yang suka ‘buat kacau’ dalam posting membuatkan orang lain rimas dan terasa. Mereka akan menyiarkan benda-benda yang tidak berkaitan, tidak sopan atau sesuatu yang mengejutkan dan tidak pasti kesahihannya. Semua ini hanya untuk ‘buat kacau’ atau membuatkan orang lain marah.

Contohnya, beberapa teman sedang rancak berbual-bual dalam perbincangan online, tiba-tiba ada individu yang datang menyampuk dengan niat sengaja membuat kacau dengan menulis perkara yang bukan-bukan dan tidak berkaitan langsung dengan topik berkenaan. Sikap begini hanya akan mendatangkan rasa marah dan benci. Tetapi mereka yang rasa sangat cool untuk ‘buat kacau’ sebenarnya memperbodohkan diri sendiri.

Perkara-perkara ‘buat kacau’ adalah seperti:

  • Menghantar video, gambar atau pautan yang mengandungi keganasan, aktiviti jenayah, kemalangan, aksi lucah, atau penderaan kanak-kanak dan haiwan yang tidak membantu tapi hanya memudaratkan minda dan emosi orang lain.
  • Menghantar pendapat politik ekstrem bagi tujuan menakutkan atau mengugut orang lain.
  • Menghantar mesej berunsur benci kepada individu atau kumpulan, menghina bangsa, agama, jantina atau budaya.
  • Menggalakkan jenayah, keganasan atau perbuatan yang ditegah, menghantar gambar atau video yang mengerikan seperti serpihan tubuh, mayat atau apa saja poster yang dibuat-buat mengenai sesuatu topik yang serius.
  • Pengiklanan, atau cuba menjual barang-barang terlarang secara online.
  • Menghantar segala macam spam.
Tip
RIngkas

Jika anda suka ‘buat kacau’:

  • Ini bukanlah cara untuk dapatkan perhatian! Tiada siapa yang akan suka dengan sikap ini.
  • Cara yang lebih baik untuk mendapat perhatian dan penghargaan ialah dengan berkongsi perkara yang anda gemari dan boleh memanfaatkan orang lain.
  • Ia boleh membawa kesan serius. Jadi fikirlah masak-masak dan hentikan sikap suka ‘buat kacau’.

Jika anda ‘sedang dikacau’ :

  • Mereka hanya iri hati melihat anda sedang berseronok, jadi teruskan sahaja dan usah pedulikan kata-kata mereka.
  • Elakkan dari membalas atau masuk ke dalam topik perbualan yang dimulakan oleh mereka yang ‘buat kacau’. Ia hanya akan memburukkan keadaan.
  • Laporkan kepada pihak moderator laman web terbabit jika ada yang cuba ‘buat kacau’.

Pernah dengar tidak ‘pencuri identiti’? Mereka adalah individu yang mencuri maklumat peribadi anda untuk menjalankan kesalahan jenayah siber dengan menggunakan nama anda. Ada juga yang mencipta dan menghantar virus kepada komputer lain dengan alasan main-main atau suka-suka. Tapi jangan risau, mereka takkan dapat menceroboh masuk jika anda sentiasa berhati-hati.

Tip
Ringkas
  • Tukar kata laluan anda dengan kerap.
  • Elakkan daripada memasuki laman sesawang bila terdapat peringatan bahawa ia tidak selamat
  • Sebelum meneruskan pembayaran online, pastikan ia mempunyai ikon secure
  • Mendedahkan maklumat peribadi di laman web yang mencurigakan adalah tidak selamat. Syarikat yang mempunyai reputasi baik adalah lebih selamat.
  • Kemaskinikan perisian antivirus anda dengan kerap.

Kata orang ‘tidak kenal maka tidak cinta’. Begitu juga di dalam dunia digital, orang lain boleh menilai anda dengan mata kasar daripada gambar anda, blog anda atau apa jua perkongsian anda di rangkaian sosial. Memang tidak adil untuk mereka membuat tanggapan kerana itu tidak semestinya melambangkan diri anda. Akan tetapi apa yang diletakkan di khalayak umum adalah apa yang mereka lihat mengenai anda. Jadi, jagalah tingkah laku anda di dalam dunia digital kerana ia boleh memberi reputasi buruk yang boleh mengganggu persahabatan, menjejaskan perhubungan dengan kenalan baru ataupun bakal majikan anda.

Tip
Ringkas

Anda tidak perlu rahsiakan siapa diri anda, tapi pastikan apa jua yang anda atau rakan anda post mengenai anda adalah jujur. Lagi cool kalau anda jadi diri sendiri!

Senarai semak:

  • Adakah anda bangga dengan gambar atau posting mengenai anda?
  • Adakah anda mahu orang lain melihat anda dengan cara itu?
  • Semak gambar atau post dengan tag anda. Jika ada yang salah, tidak senonoh atau memberi reputasi buruk, buangkan tag diri anda serta-merta.

Di dalam dunia online, maklumat peribadi anda amatlah berharga!

  • Nama penuh anda
  • Alamat
  • Nombor telefon
  • Sekolah, kolej/universiti, pejabat/tempat kerja
  • Tarikh lahir
  • Alamat e-mel
  • Nama pengguna dan kata laluan
  • Maklumat akaun bank

Mengapa semua ini penting? Kerana semua maklumat tersebut membolehkan anda menguruskan kehidupan dengan mudah, cepat dan menyeronokkan.

Namun, anda perlu sentiasa berhati-hati agar maklumat ini tidak didedahkan kepada umum atau syarikat yang tidak boleh dipercayai. Maklumat peribadi anda ini boleh digunakan bagi tujuan penipuan (orang lain boleh menggunakan maklumat anda untuk membeli-belah online, mendaftar dengan komuniti online, dan sebagainya), atau spam (menggunakan nama anda untuk menjual produk, menipu atau menyebarkan cerita palsu).

Tip
Ringkas
  • Hanya dedahkan maklumat peribadi anda di laman web setelah anda pasti ia betul-betul selamat.
  • Cara kenal pasti laman web adalah selamat:
    • Kebanyakan pelayan (browser), termasuk Firefox, Chrome, dan Internet Explorer mempunyai fungsi untuk memberi indikasi jika laman itu ‘disahkan selamat’ (verified as legitimate). Verified bermaksud selamat. Untuk lebih selamat, muat turun versi pelayan yang terbaru!
    • Taip sendiri URL (alamat laman web). Elakkan dripada terus klik pada pautan daripada e-mel atau mana saja walaupun ianya lagi mudah.
    • 'https’ dalam URL adalah lebih selamat berbanding ‘http’.

Anda boleh video chat melalui webcam daripada PC, komputer riba, tablet atau telefon bimbit. Yang paling best, anda boleh bersembang secara bersemuka dengan semua orang tanpa mengenal destinasi anda! Nak video chat dengan orang di bilik sebelah ataupun di luar negara, bersama keluarga, kawan atau orang yang baru dikenali – inilah cara interaksi yang menyeronokkan.

Dalam keseronokan melayari internet, anda perlu juga berhati-hati. Berikut adalah panduan yang boleh anda ikuti.

Tindakan Sembang dengan keluarga dan rakan-rakan Sembang dengan orang yang tidak dikenali
Bersembang hal peribadi OK Tidak OK
Pakai baju yang mendedahkan Tidak Perlu JANGAN
Kongsi maklumat sulit mengenai diri anda seperti nama penuh, alamat, nombor telefon dan sebagainya. OK JANGAN
Bersembang topik serius OK OK
Gelak-gelak, buat lawak Boleh! Boleh!
Minta nasihat Semestinya Boleh, jika ia mengenali topik umum dan bukan peribadi anda
Dedahkan nombor telefon anda dan alamat rumah OK JANGAN
Tip
Ringkas

Jika seseorang yang baru mengenali anda mahu berjumpa, sila ambil masa dan fikir dahulu! Selidik dulu atau kenali mereka lebih rapat lagi. Bila bertemu, ajaklah kawan rapat seorang dua. Dan bertemulah di tempat awam yang terbuka.

Berkongsi gambar dan video memang menyeronokkan dan inilah cara anda menunjukkan sesuatu yang membanggakan seperti gambar keluarga, rakan-rakan, haiwan kesayangan dan apa jua kejayaan.

Kadang kala kita kongsi gambar atau video yang kita gemari bagi tujuan positif seperti program kebajikan, membantu insan lain atau haiwan, kongsi maklumat berguna dengan semua seperti berita teknologi, kesihatan, buku-buku, muzik, filem atau maklumat mengenai keselamatan awam.

Pastikan anda tidak mendedahkan terlalu banyak info mengenai diri anda atau keluarga anda. Setkan akaun anda sebagai peribadi kepada orang yang tidak dikenali, kecuali untuk menyebarkan maklumat berfaedah kepada semua atau sebagai bantuan kepada orang lain.

Tip
Ringkas
  • Sebelum post, tanya diri anda:
    • Adakah ia akan menyakiti hati seseorang?
    • Is it something you’re proud of?
    • Is it helpful to others?
  • Use a photo editing tool (Windows Photo Gallery or iPhoto) to crop or blur out certain information that may be in your photos – e.g. your house number, street sign, etc.
  • If you are interested in photography and you want to publicise them, make sure you watermark them or save your files as low-res so nobody can steal your work.
  • For safety purposes, remove the metadata from your posts. Metadata is information that comes with your photos and documents. Find ways to remove it so that strangers can’t get your information from your posts. One way is to switch ‘location’ off your phone or camera.

Pencuri identiti adalah seperti peragut jalanan dalam dunia online. Mereka mungkin tidak ‘menyentuh’ anda tetapi mencuri segala maklumat peribadi anda. Untuk apa? Supaya mereka boleh menggunakan nama, nombor akaun, kata laluan dan sebagainya untuk membuat apa jua pembelian online, perbankan online, hacking dan spamming. Mereka juga boleh suka-suka menghantar gambar atau maklumat anda. Kadang kala, mereka boleh akses maklumat akaun di dalam bank atau guna kad kredit anda untuk pembelian online.

Tip
Ringkas

Jika anda pencuri identiti:
Adalah lebih baik anda mengembangkan bakat dan kebolehan anda dengan berbakti kepada masyarakat. Ia jauh lebih seronok daripada terjebak dalam jenayah.

Untuk melindungi diri anda daripada pencuri identiti:

  • Elakkan daripada mendedahkan maklumat peribadi di dalam blog anda, rangkaian sosial atau laman online lain.
  • Setkan privacy settings kepada ‘kawan’ sahaja (friends only).
  • Elakkan daripada meletakkan nama penuh, alamat, nombor telefon, nombor kad pengenalan di dalam laman web yang tidak anda kenali.
  • Bila muat naik aplikasi (apps) dalam telefon, sila baca terma & syarat. Ya, memang panjang dan membosankan tapi lebih baik anda baca. Ini kerana terdapat aplikasi (apps) palsu yang mendedahkan data peribadi anda.

Sexting adalah kombinasi perkataan texting dan sex. Ia bermakna tulisan yang berunsurkan seksual melalui telefon bimbit. Sexting adalah sesuatu yang tidak patut berlaku di antara guru atau pelajar atau orang yang tidak anda kenali. Ia boleh menjadi lebih serius dan memudaratkan.

Jika sesiapa menghantar sexting kepada anda, ia mungkin menyeronokkan pada peringkat permulaan, tapi lebih baik anda tidak menggalakkannya terutama dengan orang yang ingin anda jauhi atau sesiapa sahaja yang tidak sepatutnya. Ramai yang terjebak dalam sexting telah terjebak ke kancah yang lebih serius.

Tip
Ringkas

IJika seseorang sexting anda, jika mereka adalah:

  • Seorang guru
  • Saudara-mara
  • Bos anda
  • Seseorang yang jauh lebih tua dari anda
  • Seseorang yang anda belum cukup kenali
  • Orang yang anda tidak kenal langsung

Anda tidak perlu takut. Jika anda tidak selesa mendapat mesej-mesej sebegini, simpan mesej atau screenshot sebagai bukti. Jika mereka terus mengganggu anda, laporkan perkara ini kepada seseorang yang anda percaya.

Jika anda gemar sexting seseorang secara suka-suka, fikirkanlah akibat buruknya:
Dia boleh simpan mesej anda dan menyalahgunakannya.

Blog adalah laman web percuma yang membolehkan kita menggunakannya seperti diari untuk menulis mengenai diri sendiri, memberi pandangan, menunjukkan gambar dan video. Banyak blog dibuat oleh individu seperti anda atau rakan-rakan anda. Ada juga yang dibuat oleh syarikat dan organisasi tertentu.

Anda boleh cuba memulakan blog untuk beberapa sebab – menulis mengenai diri anda dan post gambar mengenai kehidupan anda, minat atau hobi anda, kongsi maklumat penting, mengetengahkan bakat anda dalam penulisan, pengembaraan, fotografi, memasak dan membuat kek, perfileman, sukan, kesusasteraan, muzik atau apa jua yang anda lakukan sebagai hobi. Semuanya terpulang kepada anda.

Tip
Ringkas
  • Pastikan apa yang anda tulis tidak menyakitkan hati, bersifat perkauman, menipu, mengutuk orang lain atau menyebarkan rasa benci.
  • Bila anda menghantar artikel di internet, pastikan isi kandungannya adalah benar dan tepat.
  • Blog boleh dibaca oleh sesiapa saja, jadi berhati-hatilah dan jangan kongsi terlalu banyak maklumat mengenai diri anda.

Anda boleh bermain bermacam-macam jenis permainan online, bersama sesiapa saja,sama ada dengan jiran sebelah ataupun pemain dari Zimbabwe atau Iceland! Anda boleh bersembang dengan mereka sambil bermain. Permainan online boleh merehatkan minda dan pada masa yang sama, anda dapat mengenali orang lain daripada berbilang adat budaya. Permainan online sememangnya boleh meningkatkan kecergasan minda, TETAPI ia boleh memudaratkan jika anda bermain terlalu lama dan melupakan hal-hal penting yang lain.

Tip
Ringkas
  • Disiplinkan diri – peruntukkan maksimum sejam sehari untuk permainan online
  • Pastikan anda telah selesaikan tugasan lain seperti kerja sekolah dan kerja rumah sebelum bermain. Kan lagi seronok kalau macam tu?
  • Ia hanyalah sebuah permainan. Tidak perlu obses atau terlalu kecewa jika anda tidak menang.

Profil palsu direka oleh individu dengan menggunakan maklumat palsu dan gambar palsu yang kononnya dirinya sendiri. Ia sama seperti penjenayah ataupun penyiasat yang menggunakan kad pengenalan diri dan pasport palsu, tetapi ini dilakukan secara online. Biasanya, profil palsu direka untuk melindungi diri daripada dikenali dan dijejaki oleh orang lain.

Ini adalah antara sebab mereka melakukannya:

  • Untuk melakukan penipuan, untuk daftar sesuatu di bawah nama orang lain, untuk tujuan spam, untuk menjual barang-barang terlarang dan sebagainya.
  • Untuk sekadar melawak bagi mengenakan seseorang.

Dalam rangkaian sosial, profil palsu biasanya direka untuk menambah lebih ramai kawan, memulakan perhubungan secara online dan kadang kala untuk penipuan wang. Jika anda menerima satu mesej daripada orang yang tidak dikenali, pertimbangkan dahulu sebelum percaya yang maklumat yang diberi oleh mereka adalah benar. Memang mudah menipu secara online kerana anda tidak bersemuka dengan orangnya. Sesiapa pun boleh mengaku dirinya adalah Brad Pitt atau Angelina Jolie!

Tip
Ringkas
  • Laman web sosial mempunyai ciri-ciri di mana anda boleh melaporkan sebarang penyalahgunaan, spam atau apa saja yang melanggar syarat-syarat dan peraturan di laman web itu.
  • Jika seorang yang tidak dikenali menghantar mesej kepada anda, abaikan atau soal dia dengan pelbagai soalan. Daripada jawapan yang diberi, anda boleh menilai sama ada dia jujur atau menipu.
  • Saling berpesan kepada rakan-rakan untuk sentiasa peka dan prihatin – jika terdapat profil yang menggunakan gambar dan maklumat anda, namun ia tidak direka oleh anda sendiri, segeralah membuat laporan kepada pentadbir laman rangkaian sosial itu kerana ia melanggar syarat-syarat dan peraturan.

Fitnah bermaksud membuat kenyataan palsu yang boleh menjejaskan reputasi seseorang atau sebuah syarikat/organisasi.

Contohnya:
Anda menulis tentang sesuatu topik yang hangat di dalam blog atau rangkaian sosial mengenai seseorang atau syarikat berkenaan. Jika kenyataan yang anda tulis adalah benar, anda selamat. Namun jika ianya tidak benar, orang itu boleh mengambil tindakan dengan membuat laporan kepada pentadbir (admin) laman blog tersebut atau mengambil tindakan undang-undang terhadap anda.

Tip
Ringkas

Kan lebih elok anda elakkan dari menulis sesuatu yang tidak baik mengenai orang lain.

  • Namun jika anda lakukannya untuk tujuan baik, seperti memberi langkah berjaga-jaga kepada orang lain mengenai salah laku seseorang atau syarikat, anda perlu pastikan ianya adalah benar. Selepas itu, laporkan perihal individu atau syarikat ini kepada pihak berwajib.

Kadang kala, bila seseorang sedang hangat bercinta atau menyukai seseorang, mereka mudah untuk menunjukkan gambar-gambar peribadi atau beraksi lucah di hadapan kamera atau webcam. Usahlah sesekali anda berbuat begitu...

Fikirlah semasak-masaknya – apa akan jadi jika anda bergaduh atau berpisah? Pasangan anda walaupun dianggap baik atau pernah berjanji sehidup semati sebenarnya boleh melakukan apa saja jika dia marah – seperti menyebarkan maklumat, gambar sulit atau aksi video yang boleh memalukan.

Ini bukanlah untuk menakutkan anda, tetapi kejadian ini kerap kali berlaku dalam dunia sekarang. Mula-mula, hangat bercinta. Bila sudah marah atau naik gila, mereka boleh mengugut untuk menyebarkan gambar atau video lucah anda. Ada juga yang meminta wang atau barangan lain sebagai gantian. Inilah yang dimaksudkan sebagai peras ugut.

Jadi, teladan yang boleh diambil dari kisah ini:
Elakkan daripada membuat aksi lucah atau kurang sopan dan menyimpan gambar tidak senonoh di dalam kamera atau telefon. Jika kamera atau telefon anda hilang, anda mungkin boleh menjadi terkenal untuk sebab yang memalukan!

Tip
Ringkas

Jangan sesekali lakukannya, atau anda akan menyesal.

Banyak kelebihannya jika anda faham undang-undang. Mengapa?

  • Supaya anda tahu jika perbuatan anda betul atau salah di sisi undang-undang.
  • Supaya anda boleh melindungi diri jika seseorang melakukan jenayah kepada anda.

Di Malaysia, kandungan dalam internet hendaklah mengikuti undang-undang seperti berikut:

Kesalahan online termasuk:

  • Mengundang rasa benci kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di Pertuan Agong, Raja-raja Melayu dan Kerajaan Malaysia. Penyebaran maklumat sebegitu boleh mengganggu keamanan negara.
  • Merendahkan agama lain atau menyemarakkan rasa benci sesama bangsa.
  • Penipuan melibatkan wang pelaburan dan laman web perbankan.
  • Menulis kandungan yang menyakiti, mencabuli atau memudaratkan orang lain.
  • Membuat fitnah mengenai seseorang dengan niat untuk menjatuhkan imej dan reputasinya di khalayak umum.
  • Menyebarkan bahan-bahan yang tidak senonoh dan lucah..
Tip
Ringkas
  • Sila klik pautan di bawah dan baca mengenai undang-undang Malaysia dan apa yang patut dan tidak patut anda pos secara online.
  • Fikir sedalam-dalamnya sebelum bertindak.