Semua yang anda kongsikan online seperti maklumat peribadi, gambar, video, atau apa sahaja boleh dilihat oleh sesiapa yang mempunyai komputer atau telefon. Jadi berhati-hatilah. Walaupun ramai yang berhati baik di sekeliling kita, masih ada orang yang tidak berhati perut dan boleh membahayakan kita.

Mempunyai ramai kawan dan pengikut bukanlah lambang kejayaan anda dan ia tidak semestinya mencerminkan keunggulan peribadi seseorang. Ia hanya bermaksud anda lebih memilih untuk menerima sesiapa menjadi kawan online anda.

Bila seseorang meminta kebenaran untuk ‘tambah rakan’ (add friend), aau mahu ‘ikut’ (follow) anda:

  • Pastikan anda kenal dan percaya dengan mereka.
  • Jika anda tidak mengenali mereka, pastikan anda tidak berkongsi maklumat peribadi mengenai diri anda atau keluarga dan rakan.

Berikut adalah senarai semak yang boleh anda ingati sebelum berkongsi sesuatu:

  • Adakah ia menyinggung perasaan?
  • Adakah ia membuatkan orang lain marah?
  • Adakah ia berita sahih?
  • Adakah ia menunjukkan maklumat peribadi mengenai anda, keluarga dan rakan?
  • Adakah ia melanggar undang-undang?

Pastikan anda menetapkan privacy settings untuk menghalang orang yang tidak dikenali melihat halaman anda.

Jika ia adalah blog, pastikan anda tidak mendedahkan maklumat, gambar atau video yang terlalu sulit.

Jika anda mendapati ada profil yang palsu atau pelik, atau seseorang sedang cuba memalukan anda, laporkan dengan segera kepada pentadbir (admin) rangkaian sosial.

  • Cipta kata laluan yang menggabungkan huruf besar, huruf kecil, nombor dan simbol. Pastikan kata laluan anda mempunyai lebih daripada 8 aksara. Contoh: 2Fpo89BmTg
  • Kata laluan yang tidak masuk akal adalah yang paling susah untuk digodam. Tapi ia juga susah untuk anda ingati, jadi fikirkanlah cara untuk menghafalnya.
  • Tukar kata laluan sekerap mungkin – seperti tiga bulan sekali.
  • Guna kata laluan berbeza untuk setiap akaun anda, seperti perbankan online, blogging, rangkaian sosial dan akaun e-mel. Jika semuanya adalah sama, ia lebih mudah untuk digodam.
  • Elakkan daripada menggunakan kata laluan lama yang pernah anda guna sebelum ini.
  • Usah dedahkan kata laluan anda kepada sesiapa atau tulis dalam sebarang e-mel, di skrin komputer atau telefon anda.

Sebelum anda menulis atau berkongsi apa saja, fikirkan perkara berikut:

  • Adakah anda bangga dengan gambar atau penulisan yang ingin anda poskan?
  • Adakah anda mahu orang lain melihat anda begitu?
  • Semak gambar dan post yang ada tag anda. Jika ianya menyinggung perasaan, menyalahi undang-undang atau mencemarkan maruah anda, keluarkan tag nama anda serta-merta.
  • Jika seseorang menulis sesuatu yang buruk atau tidak benar mengenai diri anda, abaikan dia tetapi kemukakan aduan kepada pentadbir (admin) laman web.
  • Set profil anda kepada private dan semak secara kerap untuk memastikan ianya tidak ditukar.

Anda mungkin tak rasa ia penting buat masa sekarang, tapi kesannya mungkin berlaku di masa akan datang. Kata orang, ‘sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’! Jadi ingatlah, bakal majikan anda juga boleh melihat post anda dan berwaspadalah sebelum anda berkongsi!

  • Dedahkan maklumat peribadi anda hanya dalam laman web yang selamat. Alamat yang bermula dengan https:// adalah lebih selamat daripada http://
  • Pastikan ada simbol kunci locked di atas skrin. Simbol melambangkan ia selamat.
  • Elakkan daripada memberi nama pengguna atau kata laluan akaun bank kepada sesiapa. Jika anda menerima e-mel yang mewakili bank anda untuk bertanyakan maklumat perbankan anda, buat aduan kepada pihak bank. Hindari daripada klik sebarang pautan daripada e-mel.
  • Baca perjanjian pengguna dan polisi privasi. Banyak organisasi menjual maklumat kepada syarikat bagi tujuan pemasaran. Dan anda akan mendapat e-mel spam dan junk daripada mereka.
  • Dengan tidak mendedahkan maklumat peribadi, anda juga telah mengurangkan spam. Jangan dedahkan alamat e-mel dan nombor telefon bimbit melainkan anda perlu melakukannya. Muat naik perisian saringan spam (spam filtering software). Bacalah terma dan syarat di dalam laman web yang meminta maklumat peribadi anda.
  • Post anda melambangkan keperibadian anda
    Di Internet, jika anda menghantar post yang bijak, positif, jujur dan membantu orang lain, orang akan melihat anda sebagai seorang yang bijak, positif, jujur dan suka membantu. Jadi, jika anda menghantar post yang ganas, negatif, marah-marah dan perkara remeh-temeh, orang akan melihat anda seperti itu juga.
  • Hormati undang-undang, hormati orang lain
    Ketahuilah syarat-syarat dan kod etika dalam forum, blog atau laman media sosial. Kod etika adalah seperti adab untuk berinteraksi secara online untuk perbincangan, permainan atau apa jua yang melibatkan penyertaan ramai. Sertailah perbincangan dengan sopan dan suarakan pendapat anda, Tetapi jika anda tidak bersetuju dengan pendapat orang lain, kekalkan sifat saling hormat-menghormati. Jika anda merasakan apa yang orang lain tulis adalah seperti serangan, memudaratkan dan boleh mendatangkan kacau-bilau, tinggalkan perbincangan tersebut. Jika anda merasakan ia boleh membabitkan keganasan atau aktiviti menyalahi undang-undang, kemukakan aduan kepada pentadbir (admin).
  • Reputasi anda
    Jika anda mempunyai perniagaan online, tunjukkanlah etika yang baik, profesional, beri perkhidmatan yang baik kepada pelanggan dan uruskanlah dengan penuh ketelitian. Jika seseorang memberikan anda kritikan yang membina, terimalah dengan hati terbuka untuk memperbaiki mutu perniagaan online anda. Namun, ada juga yang sengaja ingin menjejaskan reputasi anda. Tidak mengapa, teruskan memberi layanan dan produk terbaik kepada pelanggan dan anda boleh berjaya!
  • Bukan susah untuk menjadi baik
    Bila anda gembira, sedih, kecewa atau marah, ekspresi diri adalah yang penting. Ini kerana tiada siapa yang boleh menghalang anda daripada menyerlahkan ekspresi diri sebebasnya. Tapi jangan melebih-lebih pula! Ia boleh membosankan atau merimaskan orang lain. Bila seseorang cuba meluahkan sesuatu, hormatilah mereka seperti mana yang anda ingin dihormati. Layanilah orang lain seperti mana anda ingin dilayani. Anda tidak tahu apa yang sedang mereka alami, jadi berilah sokongan moral tanpa memperlekehkan atau mentertawakan mereka.
  • Hormati diri anda dan orang lain
    Rangkaian sosial direka untuk perkongsian. Perkongsian adalah hebat bila anda boleh mengetahui perkara terkini untuk apa jua yang berlaku di seluruh dunia dalam beberapa saat. Anda boleh berkongsi perkara yang cool mengenai apa jua, tapi ada batasnya. Jika anda terlalu banyak berkongsi, ia hanya menjelakkan orang lain. Kawan anda tidak perlu tahu apa yang anda nikmati untuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam setiap hari. Dan elakkan daripada berkongsi perkara yang terlalu sulit untuk diketahui umum. Ia hanya akan menjengkelkan orang lain!
  • Apa tu? Eeewww!
    Kadang kala orang berkongsi gambar atau video untuk mengejutkan orang lain bagi mendapat perhatian. Ada yang berkongsi gambar atau video yang boleh membuatkan orang lain termuntah. Aduh! Janganlah bersikap kebudak-budakan. Orang yang bijak hanya akan berkongsi post yang bijak, kelakar, berguna dan membuatkan orang lain senyum atau ketawa. Bukankah itu yang lebih baik!? Lebih sedap kita mendengar orang lain berkata “Wahhh saya sukalah!” berbanding dengan “Eeewww!”, bukan!?
  • Usahlah mencurah minyak ke api yang menyala
    Bila orang lain sedang hangat berdebat dan anda boleh merasakan bahangnya di antara mereka, perkara yang paling baik ialah menulis komen yang boleh meredakan api kemarahan atau tidak menyertainya. Anda tidak perlu meninggalkan komen yang boleh memburukkan lagi keadaan. Kita hidup dalam negara yang harmoni dan aman yang berbilang bangsa, agama dan budaya. Jika kita mahu orang lain menghormati kita, hormatilah mereka terlebih dahulu. Jadilah penghuni alam siber yang baik dan kemukakan aduan jika terdapat orang lain yang biadap dan tidak menghormati bangsa, agama atau budaya.
  • Semestinya mengenai sesuatu yang anda suka. Tulislah mengenainya!
  • Ingat – semua, SEMUA ORANG boleh membaca blog anda kerana ia adalah terbuka kepada umum. Tidak salah untuk anda meluahkan perasaan anda. Tapi ingat, elakkan daripada terlalu mengikut emosi yang kelak boleh memakan diri. Elakkan menyesal kemudian hari. Jika ibu bapa, guru-guru, bos atau seseorang yang anda suka membaca sesuatu yang tidak sopan, ia hanya akan memudaratkan.
  • Jika anda menulis mengenai sesuatu, pastikan fakta anda adalah tepat. Maklumat yang anda perolehi daripada internet tidak semuanya benar.
  • Dalam berseronok, sentiasa beringat untuk tidak menulis sesuatu yang boleh menyakiti hati orang lain. Anda tidak mengenali atau mengetahui kehidupan mereka dan jadilah seorang yang prihatin dengan perasaan orang lain.
  • Jika anda melihat post berunsur ugutan, memperlekehkan atau mendatangkan mudarat, kemukakan aduan.
  • Jadi…dah fikir apa yang hendak ditulis dalam blog anda? Sesuatu yang sejujurnya anda sukai atau mempunyai bakat untuk menghasilkannya adalah lebih menarik untuk dikongsi!
  • Berhati-hati dengan laman web palsu
    Seperti jam tangan, beg dan baju tiruan, laman web palsu juga nampak sama seperti yang asli. Laman web palsu ini direka untuk menipu anda dengan wang atau mendapatkan maklumat peribadi. Selepas membuat pembayaran online, anda tidak mendapat barangan yang dibeli. Jadi berhati-hatilah dalam memberikan maklumat kad kredit anda. Pastikan laman web anda selamat. Google ‘verified’ untuk belajar mengenai kepelbagaian kad kredit bagi tujuan keselamatan membeli-belah secara online.
  • Indah khabar dari rupa
    Berhati-hatilah kerana barangan yang ditunjukkan di dalam laman web jauh berbeza daripada barangan sebenar. Secara dasarnya mereka menipu barangan yang hendak dijual. Dan bila pembayaran telah dibuat, barangan yang sampai adalah tidak berkualiti dan lebih kecil daripada yang ditunjukkan dalam laman web.
  • Transaksi tidak selamat
    Transaksi online sememangnya selamat, tetapi terdapat banyak penggodam di luar sana yang menunggu pembeli yang kurang peka. Jadi pastikan anda sentiasa bertindak bijak. Pastikan laman web adalah selamat. Komputer awam, tempat terbuka atau kemudahan tanpa wayar (wireless) yang tidak dikenali boleh membahayakan. Gunalah komputer anda sendiri, tablet atau telefon anda untuk pembayaran.
  • Carilah simbol kunci (‘locked’)
    Pastikan laman web yang anda guna mempunyai SSL (secure sockets layer) yang telah dipasang bila membeli sebarang barangan online melalui kad kredit. Sebuah laman web dengan SSL mempunyai ikon seperti kunci yang dipaparkan di bahagian bawah atau kanan bersebelahan alamat URL.
  • Fikir dahulu sebelum mendedahkan terlalu banyak perkara
    Berikan maklumat yang minimum untuk membuat pembelian online. Biasanya ia hanya memerlukan nama di atas kad kredit, jenis kad, nombor dan kod sekuriti di belakang. Laman web itu tidak seharusnya meminta sebarang maklumat lain. Jika mereka memerlukan maklumat lain, ianya agak pelik dan anda tidak digalakkan untuk meneruskan transaksi membeli-belah.
  • Semak penyata anda
    Bila penyata kewangan anda sampai, semak semua transaksi. Jika terdapat pembayaran online dan ia tidak dibuat oleh anda, hubungi pihak bank secepat mungkin dan serahkan pengurusannya kepada bank.
  • Lindungi PC anda
    Kemas kini dan lindungi komputer anda daripada serangan anti-virus dan program anti-malware dengan kerap untuk mengelakkan daripada ancaman atau serangan.
  • Teliti butir-butir pembelian
    Elakkan daripada membuat sebarang bayaran pendahuluan kepada penjual yang diragui. Anda juga harus meminta resit asal atau resit bertulis bagi untuk mengesahkan pembelian anda.
  • Dapatkan avatar dan tambahkan penjenamaan ke dalam profil Twitter supaya akaun akan lebih menarik.
  • Gunakan bio Twitter anda untuk bantu orang lain. Hantar kandungan yang berguna mengenai anda supaya tweet anda senang difahami. Sama ada anda menggunakan Twitter bagi tujuan perniagaan, kerja-kerja amal atau sebab sosial lain, tanya diri anda – “Adakah seseorang yang membaca bio saya mahu mengikuti saya?” dan jika ya, tanya diri anda semula, “Adakah ini jenis orang yang saya sukai?”
  • Ia adalah tidak cool untuk anda auto DM orang lain. Auto DM adalah mesej yang disetkan secara automatik kepada pengikut. Ia biasanya menjual atau mempromosikan sesuatu. Contoh: Terima kasih kerana mengikuti saya. Sila jenguk laman web saya dan klik ‘like’! Perbuatan ini memang tidak cool dan hanya menjengkelkan orang lain yang mendapat info yang tidak relevan. Auto DM adalah spam!
  • Sama seperti blogging, pastikanlah anda berfikir sebelum menghantar sebarang perkongsian dan pendapat. Tweet anda boleh disebarkan secara viral dengan mudah. Jika ia berkaitan perkara baik tidak mengapa, tetapi jika ia melambangkan sikap negatif anda ia boleh membahayakan. Tweet juga akan KEKAL LAMA dan boleh dipaparkan sampai bila-bila.
  • Cara terbaik menggunakan Twitter anda ialah dengan menghantar maklumat yang berguna atau membantu orang lain. Inilah kaedah terpantas untuk anda menghebahkan mengenai sesuatu kepada semua.
  • Guna kurang daripada 140 aksara. Jika boleh, tinggalkan 10 aksara di hujung tweet anda supaya orang lain boleh menghantar komen mereka.
  • Sebelum tweet, kenalilah siapa yang mengikuti anda. Bayangkan jika menulis “Alamak, bau badan Mrs Boo boleh buat saya pengsan!” Dan anak perempuan Mrs Boo yang anda minati membaca tweet anda!
  • Perkenalkan diri anda untuk menyertai sembang-sembang atau perbincangan kumpulan supaya mereka mengenali diri anda. “Hai, saya Ahmad dan ini blog saya http://SayaAhmad.com.
  • Biarkan pengikut mengetahui sama ada anda akan menghantar banyak tweet. Bila anda memasuki ruang sembang (chat) atau tweet secara live dalam satu ruang, nyatakan amaran seperti, “Tweet saya mungkin agak banyak, jadi abaikan saya jika anda sibuk atau tidak mahu diganggu”.
  • Relaks – usah rasa bersalah jika anda tidak mengikuti pengikut anda dan tidak perlu kecewa jika orang lain yang anda ikuti tidak mengikuti anda semula. Tidak semestinya anda perlu membalas ikutan itu. Ia bukannya seperti ‘I friend you, you friend me’.
  • Elakkan daripada mengikut orang lain dengan harapan mereka anda mengikuti anda, dan selepas dia mengikuti anda, anda berhenti mengikutinya. Ini memang kebudak-budakan dan tidak baik. Jika anda mahu pengikut yang ramai, tulis sesuatu yang menarik dan berguna untuk semua. Lebih bermanfaat tweet anda, lebih ramailah pengikut anda.
  • Ia adalah tidak okay untuk anda menggunakan akaun Twitter orang lain untuk mendapat perhatian. Inilah yang dikatakan ‘tumpang glamour’. Melainkan anda mempunyai sebab tersendiri menggunakan nama Twitter orang lain untuk mendapatkan perhatian, ia memang tidak cool langsung.
  • Nyatakan sumber sesuatu idea atau info yang anda dapati. Ia memang menyedihkan jika anda terpaksa mencuri idea orang lain dan mengatakan ia milik anda. Lambat laun, orang lain akan mengetahui cerita sebenar dan ini boleh memalukan anda sendiri.
  • Tidak perlu sesakkan talian Twitter orang lain dengan tweet setiap sarapan, makan tengah hari dan malam anda, melainkan anda sedang menjamu selera sambil menikmati panorama yang luar biasa. Barulah seronok untuk dibaca! Peraturan umum, elakkan daripada menghantar lebih dari empat tweet setiap jam melainkan anda sedang rancak berbual.
  • TMI (too much information) sebenarnya memang menjengkelkan! Bukan semua pengikut anda akan betul-betul berminat mengetahui kehidupan anda secara terperinci. “Saya buang air besar tadi dan keluar dari tandas tanpa pam.” Syok ke baca macam tu?
  • Kajian menunjukkan orang lain akan memberi reaksi yang baik terhadap mesej yang positif dalam laman rangkaian sosial. Jadi bersikap positiflah di Twitter!
  • Selalu membantu. Jadilah orang yang sentiasa mempunyai info yang menarik atau berguna.
  • Pengikut akan kata “bye-bye” kepada seseorang yang membosankan. Jika anda ingin mempromosikan dan menjual sesuatu, hanya lakukannya sekali dalam 10 kali mesej.
  • Anda boleh mengelirukan orang lain yang membaca dengan mencipta singkatan anda sendiri. Guna singkatan yang mudah difahami seperti ‘l8’, ‘4ever’, atau ‘LMAO’. Jika anda menulis, “Nk pg tysn tri nti”, pengsan orang lain nak membacanya. Anda sendiri pun susah nak faham kan?
  • Dengan sepenuh hati, tonjolkan diri anda sebagai seorang yang jujur.TIDAK RAMAI ORANG YANG SUKA TWEET YANG LEPAS GERAM ATAU MENJERIT DENGAN MENGGUNAKAN HURUF BESAR. Pening anda membacanya kan?
  • Gunakan hashtag dengan bijak. Hashtag membenarkan anda mengkategorikan info yang spesifik. Buatlah hashtag yang relevan supaya orang lain tahu apa yang hendak anda disampaikan.
  • Semuanya berlaku secara langsung. Jadi balaslah tweet kawan lain dengan efisyen supaya perbualan anda segar dan bukanlah beberapa jam atau hari yang berikutnya.
  • Ucapkan terima kasih kepada orang yang retweet atau menyebarkan info lain mengenai anda. Tunjukkan penghargaan anda terhadap mereka.
  • Jika anda sedang berbual dalam ruangan awam dan kemudian hanya dua orang sahaja yang saling membalas, teruskannya di platform lain seperti e-mel atau panggilan telefon. Ini bagi mengelakkan orang lain bosan dengan mesej-mesej peribadi anda dan menyemakkan talian twitter orang lain yang tidak ada kena mengena dengan perbualan tersebut!
  • Peniruan (‘Copycatting’)
    Ia adalah tidak elok untuk meniru. Buatlah isi kandungan sendiri. Ianya tidak cool untuk mengambil gambar orang lain, tukar filter dan mengatakan ia adalah milik anda.
  • Visual clichés (sama)
    Instagram clichés adalah gambar yang anda lihat berulang-ulang kali – gambar di pasiran pantai, waktu senja, makanan anda dan yang sewaktu dengannya. Walaupun pengikut mungkin tidak kisah gambar yang sama, namun jika kerap melakukannya ia boleh menjengkelkan orang lain. Sentiasalah memberi sesuatu yang segar, berbeza dan kreatif bagi menarik minat mereka untuk kembali.
  • Buat orang lain terkejut atau takut
    Pengikut anda tidak mahu melihat gambar-gambar ngeri sebuah kemalangan, kutil di celah kaki anda, haiwan yang diseksa dan sebagainya melainkan niat anda untuk memberi kesedaran dan membantu orang lain dengan gambar sebegitu.
  • Instagram junkie
    Memuat naik gambar-gambar anda tanpa henti atau secara berterusan memang tidak berapa cool. Jika anda bangga dengan majlis graduasi anda, kelahiran bayi comel atau aksi lucu haiwan peliharaan anda, beberapa keping gambar sudah memadai. Jika anda berkongsi berdozen-dozen gambar, ia hanya akan membosankan.
  • Buat kacau (#Pest)
    Hashtag digunakan untuk mewujudkan kumpulan atau kategori gambar. Jika anda mengambil gambar menara KLCC, gunakan hashtag yang berkaitan seperti #KL #Suria atau #KLshopping. Terlalu banyak hashtag hanya akan merimaskan orang lain kerana terlalu banyak yang mahu ditonjolkan sekaligus!
  • 'Selfie' yang tidak terkawal
    Ya, memang anda kacak/comel/mantap/lawa. Tiada yang menafikannya tetapi pernah tidak anda dengar ‘too much of a good thing’? Jika Tom Cruise atau Megan Fox sekalipun menghantar gambar selfie tidak henti-henti, anda rasa menarik ke?
  • Jom ikut saya!
    Jika anda perlu meminta orang lain untuk ikut anda, ini bermakna anda tidak menarik. Jika Instagram anda menarik, sudah tentu ramai yang akan mengikuti anda secara automatik. Tidak perlu anda meminta-minta untuk mereka mengikuti anda. Hmm, tidak malunya!
  • Tidak relevan
    Twitter adalah untuk tweet dan Instagram adalah untuk gambar. Jadi jika anda ingin melihat mesej, anda akan buka Twitter. Memuat naik gambar teks di Instagram adalah kurang relevan. Jadi gunalah medium ini sebaik mungkin. Ada yang mengikuti kedua-dua Twitter dan Instagram anda, dan dia akan bosan mendapat kedua-dua gambar dan mesej sebanyak dua kali. Memang tidak cun!
  • Mendedahkan perbualan peribadi
    Ramai kini yang gemar screenshot perbualan kelakar dan menarik atau teks atau e-mel yang pelik-pelik. Tapi jika orang lain menghantar perbualan peribadi anda, ia boleh mengundang rasa tidak selesa apatah lagi jika ada sesuatu yang sulit. Menghantar screenshot mengenai perbualan peribadi adalah tidak sopan dan tidak sepatutnya dilakukan. Mereka boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap anda. Jadi untuk mengelakkannya, mintalah izin daripada orang tersebut terlebih dahulu.

Memanglah, siapa yang tidak suka kan? Ia memang menyeronokkan, melapangkan minda dan membolehkan anda berehat daripada kerja sekolah. Namun, terlalu lama bermain boleh memudaratkan juga. Jadi…

  • Disiplinkan diri – peruntukkan maksimum sejam sehari untuk permainan online
  • Pastikan anda telah selesaikan tugasan lain seperti kerja sekolah dan kerja rumah sebelum bermain. Kan lagi seronok kalau macam tu?
  • Ia hanyalah sebuah permainan. Tidak perlu obses atau terlalu kecewa jika anda tidak menang.