Remaja

Dunia online boleh menjadi ‘kawan’ atau ‘lawan’, bergantung kepada cara anda menggunakannya. Kalau anda gunakannya dengan bijak, anda akan mendapat manfaatnya. Tetapi, kalau digunakan tanpa berhati-hati, anda boleh mengundang padah dan menyesal di kemudian hari.
Kalau ada sesuatu yang tak kena atau buat anda rasa was-was dan kurang senang, minta nasihat daripada mereka yang anda percayai seperti guru atau ibu bapa. Jangan terkejut, mereka boleh memberikan sokongan yang anda perlukan, itu pun kalau anda beri mereka peluang!

Memang ramai yang jahat di luar sana. Mereka hanya menunggu masa sahaja untuk dapatkan mangsa! Tetapi, tidak perlu panik, kerana bukan semuanya seperti mereka. Anda cuma perlu berhati-hati untuk terus mendapatkan manfaat internet.

Ada beberapa perkara yang anda harus ingat bila menggunakan media sosial

  • Fikir sebelum kongsi
  • Mendedahkan diri anda kepada dunia
  • Penipuan, helah dan pencuri identiti
  • Buli siber
  • Kesederhanaan adalah kunci!

Fikir sebelum kongsi

Kenapa anda berkongsi? Adakah sebab anda nak meluahkan perasaan, beritahu kawan-kawan pendirian anda atau sebab sesetengah benda yang anda kongsikan akan buat anda nampak cool? Adakah anda kongsi sesuatu sebab anda nak membantu seseorang yang memerlukan?

Sesetengah perkara memang tidak patut dikongsi kerana ia palsu, boleh menyinggung perasaan dan mengundang masalah kepada orang lain kalau post itu fitnah semata-mata.

Kongsilah secara bijak. Tanya diri anda sebelum berkongsi sesuatu:

"Betul ke fakta-faktanya? Betul ke post ini asli?"

"Boleh ke perkongsian ini membantu orang lain?"

"Boleh ke perkongsian ini menjejaskan reputasi seseorang atau membahayakan mereka?"

"Adakah ini hanya gosip yang tidak berfaedah?"

Mendedahkan diri anda kepada dunia

Media sosial menawarkan banyak apps percuma, tawaran percuma, permainan percuma dan macam-macam lagi yang percuma. Sebenarnya, tiada apa yang betul-betul percuma. Anda memang akan menerima akibatnya kalau anda tidak berhati-hati.

Kalau anda kongsikan maklumat seperti nombor telefon, alamat rumah, gambar peribadi, semuanya boleh jatuh ke dalam tangan yang salah. Walaupun anda telah menetapkan privacy settings kepada kawan-kawan anda sahaja, kalau mereka kongsikan maklumat anda, kawan-kawan mereka juga boleh melihatnya. Jadi, tidak mustahil kalau stalker atau penjahat juga boleh melihat semuanya.

Bila anda post sesuatu seperti “Sorang-sorang kat rumah malam ni” ketika tetapan lokasi sedang aktif, anda memang benar-benar menempah masalah. Kebanyakan apps yang ditawarkan oleh telefon pintar memerlukan anda mengaktifkan tetapan lokasi. Ini boleh meletakkan anda dalam bahaya, lebih-lebih lagi bila maklumat anda dilihat oleh mereka yang memang sedang ‘menunggu’. Mereka-mereka ini boleh jadi stalker, pencuri identiti atau sesiapa yang sedang bosan dan hanya menunggu mangsa untuk dikacau, dibuli atau didedahkan. Bila anda memberi mereka maklumat sebegini, ia adalah seolah-olah anda sedang berkata “Hey, marilah kacau saya!”

Tiada apa yang terpadam dalam dunia siber. Maklumat akan kekal selama-lamanya dan bila-bila masa sahaja boleh menghantui anda semula. Langkah yang terbaik adalah untuk berhati-hati atau anda mungkin akan jadi ‘terkenal’ suatu hari nanti.

Penipuan, helah dan pencuri identiti

Selalunya, kalau tanggapan pertama anda adalah “Hmm, ni macam ada yang tak kena je!”, anda mungkin betul. Anda sepatutnya tahu bahawa ia sememangnya mudah untuk menipu di dalam dunia maya. Tidak kisahlah sama ada mereka menyamar sebagai bank, menawarkan skim cepat kaya atau berpura-pura menjadi baik untuk mengenakan mangsa yang mudah ditipu. Jangan masuk perangkap penjahat yang cukup pandai meyakinkan anda itu! Elakkan daripada termakan dengan kata-kta pujian mereka itu.
Percayakan kata hati anda!

Tips untuk jadi lebih bijak daripada mereka

  • Hanya layari laman web yang URLnya bermula dengan https, dan bukannya http. Di dalam laman web yang selamat, maklumat anda akan disulitkan (encrypted) terlebih dahulu sebelum dihantar kepada server.
  • Klik pada ikon ‘kunci’ untuk tahu status keselamatan sesuatu laman web itu.
  • Buat sedikit kajian tentang laman web itu dan apa yang ditawarkannya, baca ulasan daripada pengguna-pengguna lain.

Buli siber

Adakah anda seorang mangsa buli, atau anda sendiri yang membuli?

Buli siber tidak ada bezanya dengan buli dalam kehidupan di luar. Kata-kata kesat dan penderaan emosi yang berterusan boleh jadi lebih berbahaya daripada ditolak daripada basikal anda. Kalau anda biarkan, ia boleh menyeksa emosi, dengan kesan yang boleh berkekalan sepanjang hayat.

Kalau anda yang dibuli

Jangan pedulikan pembuli anda. Anda harus kuat untuk terus tidak mengendahkan mereka, tidak kira apa yang mereka katakan. Kalau anda tidak berikan respon, lambat-laun mereka akan bosan juga dan berhenti mengganggu anda.

Kalau mereka masih mengganggu anda, terus block atau unfriend mereka. Jangan sekali-kali melawan kerana itulah yang mereka mahukan. Jangan layan mereka. Adalah lebih baik untuk anda berikan perhatian kepada mereka yang melayan anda dengan baik. Hey, anda takkan tidak tahu, jadi baik adalah lebih cool!

Kalau anda yang membuli

Cuba tanya diri anda, “Kenapa anda buat begini?” Apa yang buat anda terlalu sedih sampai anda perlu membuatkan orang lain sedih juga? Mereka bukan masalah sebenarnya, anda tahu kan? Kalau mereka tidak pandai, berbadan besar atau ‘hodoh’ bagi anda, apa kena mengena dengan anda? Ke anda cemburu dengan mereka sebenarnya?

Kalau anda membuli seseorang, andalah punca masalah yang sebenarnya. Pernahkah anda menjadi mangsa suatu ketika dahulu? Adakah anda masih menjadi mangsa? Berhadapanlah dengan mereka atau minta nasihat daripada seseorang yang anda percayai. Jangan biarkan orang lain merana.

Kesederhanaan adalah kunci!

Kita mungkin memandang mereka yang melalui kehidupan pada zaman dahulu sebagai orang-orang yang ketinggalan zaman dan kolot. Yalah, mentang-mentang mereka berbual secara fizikal dan tidak pandai menghantar atau membalas mesej, serta keluar bermain permainan yang benar-benar menggunakan fizikal mereka daripada bermain permainan online.

Tetapi, perkara-perkara yang dilakukan semasa “zaman dahulu” memang banyak kelebihannya. Pertama sekali, terdapat kurang salah faham bila berbual secara bersemuka. Contohnya, bila seseorang berkata, “Mari makan (berhenti seketika) nenek,” ia memang jelas yang dia sedang menjemput neneknya untuk makan. Tetapi, dalam mesej teks, ketiadaan tanda koma boleh mengubah maksud ayat itu sama sekali!

Satu perkara lagi, dengan meluangkan terlalu banyak masa online, anda tidak akan mempunyai cukup masa untuk bersenam, atau sesuatu yang akan membuatkan anda cergas, sihat dan cantik. Apa kata anda ambil masa untuk bersiar-siar di luar tanpa telefon bimbit anda? Anda boleh melihat dunia luar yang diwarnai ragam manusia, pokok-pokok, langit yang biru, awan, burung-burung, rama-rama dan banyak lagi perkara yang indah. Masa itu, mungkin anda akan sedar yang dunia di luar sana juga boleh memberikan inspirasi dan keseronokan.

Dunia maya sememangnya hebat, tetapi hanya bila anda menggunakannya secara sederhana dan bijak.